Kemudahan infrastruktur dan kelengkapan Sekolah_Menengah_Sains_Sultan_Mahmud

Kemudahan asas

Bangunan pembelajaran dan pentadbiran

Sekolah ini mempunyai 5 blok utama yang mengandungi pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik bimbingan kaunseling, bilik guru, bilik guru-guru ketua bidang, makmal sains dan bahasa, makmal multimedia dan komputer, perpustakaan, bilik darjah, bilik Perancis, bilik kuliah, bilik pengawas dan tandas. Empat daripada blok ini mempunyai 3 tingkat dan penghubung dari satu blok ke blok yang lain. Sebuah blok yang lain mempunyai 4 tingkat. Terdapat juga 2 bangunan tambahan yang terdiri daripada Pusat Sumber (Bilik Audio Visual) dan bengkel kemahiran hidup bagi pelajar menengah rendah. Sebuah lagi bangunan merupakan makmal komputer untuk kemudahan para pelajar mempelajari cara-cara menggunakan komputer.

Asrama

SESMA ialah sebuah Sekolah Berasrama Penuh. Oleh itu, pelajar dikehendaki tinggal di asrama yang disediakan. Sekolah ini mempunyai 4 blok asrama iaitu 2 blok asrama lelaki (Aspura) dan 2 blok asrama perempuan (Aspuri). Asrama ini boleh menempatkan 600 orang pelajar dan beberapa warden. Terdapat juga bilik penyelia asrama, bilik rekreasi, stor sukan, bilik sakit, klinik pergigian, dan bilik belajar. Semua pelajar terikat dengan peraturan 'Arahan Tatatertib Sekolah' yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan semua aktiviti pelajar dikawal oleh pihak pentadbiran sekolah.

Dewan makan dan Kantin

Dewan makan sekolah ini terletak di antara asrama lelaki (Aspura) dan perempuan (Aspuri) yang digunakan bagi sarapan pagi, makan tengah hari, makan petang, makan malam dan makan lewat malam bagi hari persekolahan dan hari cuti. Dewan makan ini juga boleh menampung pelajar seramai 750 orang pada satu-satu masa sekiranya terdapat majlis rasmi atau bukan rasmi. Kantin pula terletak di bangunan akademik yang terletak bersebelahan blok Tingkatan 1 dan 2.

Dewan Besar

Dewan Besar SESMA menjadi kegunaan rasmi sekolah seperti perhimpunan rasmi, sambutan rasmi (seperti kemerdekaan atau maulud nabi), kegiatan pelajar dan peperiksaan umum (PMR dan SPM). Dewan ini mampu menempatkan 650 pelajar bersama guru dan kakitangan untuk satu-satu masa. Dewan ini juga turut boleh digunakan oleh orang luar atas kebenaran pihak sekolah.

Surau

Surau SESMA ialah kemudahan bagi pelajar Islam untuk menunaikan solat berjemaah memandangkan pelajarnya dipupuk untuk menunaikan solat fardu berjemaah setiap waktu. Surau ini telah dinaik taraf pada penghujung 2001 dan siap pada tahun 2002. Terrdapat juga aktiviti keagamaan lain yang dilakukan di surau seperti ceramah agama dan berzanji.

Kemudahan lain

Perpustakaan & Pusat Sumber

Perpustakaan menyediakan pelbagai bahan rujukan dan kemudahan kepada pelajar dan staf sekolah. Selain itu, Pusat Sumber merupakan bilik seminar dan bilik audio visual yang menjadi sebagai sebahagian daripada alat bantuan pengajaran dan pembelajaran bagi kemudahan pelajar dan guru.

Makmal Multimedia & Komputer

Makmal ini menyediakan perkhidmatan komputer untuk kegunaan pentadbiran, staf akademik dan juga pelajar sekolah. Para guru juga digalakkan menggunakan komputer sebagai kaedah pengajaran dalam merealisasikan sekolah bestari dan juga untuk kajian R&D.

Makmal Bahasa

Makmal ini digunakan untuk mengajar bahasa di sekolah ini terutama Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Arab dan Bahasa Jepun. Makmal bahasa ini turut boleh digunakan bagi tujuan perjumpaan persatuan ko-kurikulum bagi aktiviti mereka dari semasa ke semasa.

Koperasi sekolah

Koperasi ini menyediakan perkhidmatan seperti kedai runcit koperasi, bank koperasi dan pemborong. Semua pelajar ialah ahli koperasi sekolah dengan harapan dapat menanamkan sikap berjimat cermat dan kerjasama selain menguruskan urus niaga dengan sendiri. Dividen tahunan akan dibayar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi.

Kemudahan sukan

SESMA turut mempunyai pelbagai kemudahan sukan seperti gimnasium, astaka, padang, gelanggang bola keranjang dan bola tampar, dan dewan besar (gelanggang badminton).

Pengangkutan

Pengangkutan disediakan di sekolah ini dengan sebuah van dan 2 bas untuk kemudahan pelajar dan rombongan sekolah ke luar sekolah.